Bapa Zamarul Hisham meninggal dunia jatuh bilik air

KUALA LUMPUR: Pelakan Zamarul Hisham kehilangan bapa tersayang, Mohamed Mohamed Zain yang meninggal dunia selepas terjatuh di bilik air kediamannya di Bangi, di sini, kira-kira jam 7 malam tadı.

Berita sedih itu dikongsikan Zamarul menerusi laman Instagram.

Zamarul berkata, dia baru sahaja menemui arwah, dua hari lalu. Malah, mereka sempat berbual panjang dan arwah juga kelihatan ceria.

"Innalillahiwainnailaihirojiun… Tiada lagi teman bicara, teman untuk berkongsi rasa, pendengar setia. Bak baru dua hari lepas Sham balik, kita berbual panjang, ketawa ceria, tapi hari ni Bak pergi tinggalkan kami semua.

"Al-Fatihah buat Bak, semoga Bak tenang di sana. Semoga ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan beramal soleh," tulisnya.

Sementara itu, isteri kepada Zamarul yang juga pelakon Diana Rafar berkata, arwah bapa mentuanya tidak menghidap sebarang penyakit.

Diana berkata, arwah ada meminta mereka membelikannya durian ketika pulang menziarahnya, baru-baru ini.

"Bapa mentua minta dibelikan durian untuk dimakan bersama-sama kerana durian adalah buah kegemarannya.

"Sewaktu berjumpa dengan Bak, baru-baru ini, arwah kelihatan sihat dan tidak nampak seperti tanda-tanda seperti tidak sihat," katanya.

Ujar Diana lagi, arwah turut meminta salah seorang cucu membingkaikan gambarnya untuk diletakkan di kepala katil.

"Bak seorang yang ceria dan kami berbual seperti biasa dalam pertemuan itu. Jadi, kami sangat terkejut apabila dimaklumkan Bak jatuh dalam bilik air.

"Apapun, kami sekeluarga reda kerana Allah lebih menyayangi Bak," katanya.

Jenazah arwah disolatkan di Masjid Al-Umm, Bangi dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi, Sg Tangkas, Kajang, jam 10.30 pagi ini.

Previous Post Next Post

Contact Form