Tiga beradik maut lori rempuh kren

ROMPIN - Tiga beradik maut selepas lori dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kren di Kilometer 136 Jalan Kuantan-Johor Bharu dekat Kampung Sepakat, di sini, kira-kira jam 7.35 malam tadi.

Tiga beradik berkenaan, Muhammad Firdaus Abu Bakar, 28; Muhammad Solihin, 21, dan Ahmad Jazuly, 17, beralamat di Jalan Sungai Kolek, di sini.

Ketua Polis Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar, berkata siasatan awal mendapati kemalangan apabila lori jenis Toyota Hiace dipandu Muhammad Solihin terbabas.

"Muhammad Firdaus dan Ahmad Jazuly pula berada dalam lori itu kalendan dan mereka dalam perjalanan dari arah Johor Bharu menghala Kuantan.

"Tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan telah hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kren," katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Katanya, tiga beradik terbabit cedera parah di bahagian kepala serta kaki, manakala lelaki memandu kren berusia 38 tahun turut mengalami kecederaan di bahagian badan.

"Kesemua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dihantar ke Hospital Rompin untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan awal juga mendapati pemandu lori terbabit yang juga pelajar Politeknik Muadzam Shah, di sini, tiada lesen memandu," katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta supaya saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan.

Previous Post Next Post

Contact Form